Ahad, 7 Julai 2013

Minyak Wangi Tiruan!

            Salam sejahtera kepada para pengunjung blog.... Kali ini, saya bercadang untuk mencoretkan sedikit sebanyak mengenai minyak wangi tiruan. Hal ini demikian kerana, minyak wangi bukan lagi suatu perkara yang asing, tidak kiralah bagi kaum adam ataupun hawa, semuanya menggunakan minyak wangi bagi menampilkan diri dengan lebih elegen dan segak.


       

Sumber: Imej Google
Variasi minyak wangi di pasaran
   Mutakhir ini, terlalu banyak jenama minyak wangi yang terdapat di pasaran, sehingga timbul kekeliruan di antara para pengguna mengenai keaslian minyak wangi tersebut. Perkara ini demikian kerana terdapat beberapa syarikat pengeluar yang menggunakan jenama minyak wangi yang seakan-akan yang asli, tetapi pada hakikatnya, produk itu merupakan minyak wangi tiruan. Malah bau minyak wangi tiruan juga akan berbau seperti yang asli.



Kesan minyak wangi tiruan kepada pengguna:

Sumber: Imej Google

Kesan yang paling ketara ialah dari segi kesihatan. Minyak wangi tiruan selalunya tidak melalui ujian makmal yang rapi, malah campurannya juga sangat diragui.  Sehubungan itu, pengguna yang mempunyai kulit yang sangat sensitif berisiko tinggi untuk mengalami alahan dan mungkin juga kecacatan pada kulit. Perkara ini tidak harus dipandang enteng kerana walaupun kecacatan tersebut dianggap hanya berada pada kulit, tetapi kita tidak harus mengetepikan kemungkinan bahawa minyak wangi tiruan mampu memberi kesan kepada organ dalaman kita.


Kenalpasti minyak wangi yang asli:

Terdapat pelbagai langkah yang boleh kita ambil bagi mengenalpasti minyak wangi tiruan ataupun mengelakkan diri kita ditipu dengan minyak wangi tiruan.

Sumber gambar: ImejGoogle.com



1. Periksa bungkusan
Para pengguna mesti memeriksa pembungkus ataupun kotak minyak pewangi bagi memeriksa sebarang cacat cela ataupun tanda-tanda kotak itu dibuka. Perkara ini boleh dipastikan dengan memeriksa sebarang pelekat atau gam tambahan pada kotak tersebut ataupun tanda koyak.





2. Kenali penjual/pengedar
Pastikan anda membeli minyak wangi dengan penjual yang terkemuka ataupun syarikat yang dipercayai. Jikalau boleh, elakkan sebarang penjual minyak wangi yang datang kepada anda sendiri dan menjualnya, kerana dikhuatiri dijual minyak wangi tiruan.



3. Baca label/barkod dengan teliti, kemudian cuba minyak wangi
Langkah ini sangat penting kerana para pengguna dapat mengetahui keaslian produk itu dengan melihat kandungan minyak wangi, tarikh luput, syarikat pengeluar dan pengedar dan juga informasi lain. Selepas itu, cuba minyak wangi tersebut bagi menguji tempoh masa minyak wangi itu dapat bertahan.





4. Peka dengan perubahan pada kulit/sensitif

Kita juga harus sentiasa peka dengan sebarang perubahan pada kulit kita. Sebarang rasa gatal-gatal ataupun wujudnya ruam pada kulit  merupakan tanda-tanda minyak wangi itu tidak sesuai dengan kulit kita, dan juga berkemungkinan besar minyak wangi tersebut merupakan tiruan.



              Secara kesimpulannya, para pengguna harus berwaspada ketika membeli minyak wangi bagi menjamin keaslian produk tersebut. Kita tidak harus berkira ketika berbelanja untuk membeli minyak wangi yang bermutu, tetapi pada masa yang sama, harus beringat-ingat ketika membeli. Oleh itu, saya berharap coretan kali ini dapat memberi informasi yang berguna kepada para pengguna alam maya sekalian.

Sekian.

2 ulasan:

  1. memang betul.... ramai orang beli perfume@minyak wangi tiruan sebab murah, asalkan dpt au sket cukupla. tp diorang x pikir kesan perfume tu kt kulit diorang...... kene check dulu time eli..barulah selamat untuk dipakai..

    BalasPadam
  2. Memang betul, ramai diantara kita membeli pewangi kerana harganya murah. Ada segelintir diantara kita yang lalai dalam memilih barangan yang asli atau tulen.

    BalasPadam