Isnin, 13 Mei 2013

Usaha Pihak Berkuasa Menangani Barangan Tiruan


Berikut ialah artikel mengenai barangan tiruan dan tindakan pihak berkuasa dalam usaha menangani masalah ini. Saya terjumpa artikel yang menarik ini ketika sedang membaca mengenai barangan tiruan, dan ingin berkongsi isu semasa ini bersama para pembaca dan pengguna alam maya, terutamanya blog saya.

..........................................................................................................................................



47 disenarai hitam



Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail berkata, selain produk tiruan, pihaknya terpaksa mengambil tindakan sedemikian berikutan ada pengasas produk tidak berkelayakan menghasilkan produk sehingga berlaku lambakan produk kecantikan haram di pasaran yang tidak menepati piawaian ditetapkan.
Katanya, nilai rampasan setiap produk adalah tinggi dan meningkat setiap tahun membabitkan RM385,923 pada 2010, RM8 juta bagi 2011 dan RM155,743 dari Januari hingga Jun tahun ini.

Menurutnya, pihak berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Racun 1952 yang mengenakan denda minimum RM5,000, manakala bagi Akta Jualan Dadah, denda maksimum RM50,000 jika didapati bersalah.

“Tindakan segelintir pengusaha menghasilkan produk kecantikan dan beroperasi secara haram serta tiada kelayakan, memberi kemudaratan kepada pengguna kerana ada campuran bahan kimia yang boleh merencatkan saraf hingga menjadikan pengguna gila.

“Antara bahan terlarang digunakan dalam produk adalah sibutramine yang boleh menyebabkan pusat makan di bahagian otak tersekat hingga mendorong rasa kenyang atau kurang selera makan.

“Bagi barangan kosmetik pula, krim tretinoin dan bahan pemutih hidroquinon akan menyebabkan kulit nipis dan terdedah kepada kanser kulit serta tretinoin.

“Bagi produk tradisional pula, ada campuran bahan steroid dan antihistamine boleh memudaratkan jantung dan buah pinggang,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau berkata, pihaknya membekalkan alatan khusus kepada lebih 1,700 farmasi di seluruh negara supaya pengguna atau pemborong dapat melakukan pemeriksaan sendiri sama ada produk atau ubat-ubatan dibeli tiruan atau sebaliknya.

“Selain itu, bagi setiap rampasan, ujian dilakukan terhadap produk atau ubat-ubatan itu di makmal dan tindakan dikenakan terhadap pemilik produk mengikut pelbagai kategori atau jenis kesalahan.

“Kementerian juga sentiasa melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan barangan produk tiruan dapat dikawal dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Gabungan Persatuan Pengguna Pengguna Malaysia (Fomca), Ratna Devi Nadarajan berkata, kurangnya penguatkuasaan undang-undang menyebabkan kebanjiran produk tiruan. “Ketiadaan garis panduan ketat dalam mengiklankan produk menyebabkan sesiapa saja boleh memalsukan produk itu,” katanya.

..........................................................................................................................................
Maka, jelaslah bahawa pihak berkuasa turut mengambil semua langkah yang sepatutnya diambil bagi menangani masalah barangan tiruan agar tidak menjejaskan masyarakat sekalian.

Sabtu, 11 Mei 2013

Barangan Tiruan - Pil Kesihatan

   
          Kali ini, saya ingin berbincang mengenai pil kesihatan palsu atau tiruan, yang juga tergolong dalam barangan tiruan. Mutakhir ini, pil kesihatan atau ubat tiruan makin menular dalam kalangan masyarakat kita. Ramai diantara kita mudah terpedaya dengan janji-janji kosong dan harapan palsu dari pengedar-pengedar ubat, terutamanya ubat-ubat tradisional, pil pelangsing dan pil hormon.

Hal ini menjadi semakin serius disebabkan ramai ubat dan suplemen kesihatan diedarkan atas nama syarikat pengedar barangan kesihatan tulen yang terkemuka. Oleh itu, amat sukar bagi pengguna membezakan barangan kesihatan yang asli dan juga tiruan.

Kajian yang dilakukan baru-baru ini oleh Asian Intelligence Journal mendapati daripada keseluruhan pengeluaran barangan kesihatan, sebanyak 6% pada 2001, 6.43% pada 2002, 5.25% pada tahun 2003 dan 6.67% pada tahun 2004 adalah produk kesihatan tiruan (counterfeit). Angka ini mungkin kelihatan kecil, tetapi pada hakikatnya jumlah barangannya adalah dalam kuantiti yang besar.

Kesan ubat tiruan.


Kesan yang paling ketara adalah dari segi kesihatan manusia. Hal ini demikian kerana, ubat tiruan dan produk kesihatan ini berkemungkinan mengandungi bahan aktif yang boleh memudaratkan sistem badan manusia, seterusnya membawa maut kepada pengguna barangan tersebut.

Cara membezakan pil kesihatan tiruan?


Pil-pil kesihatan atau ubat yang telah didaftarkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia akan mempunyai nombor pendaftaran yang selalunya dicetak dan dipaparkan pada kotak atau bungkusan produk tersebut.


Sumber: Google Images


Gambar diatas menunjukkan contoh nombor pendaftaran : MAL20021234, diikuti dengan jenis ubat mengikut kod yang ditetapkan.
A- Ubat yang mengandungi racun terkawal
X- Ubat yang mengandungi racun tidak terkawal
T- Ubat tradisional seperti jamu.
K- Barangan kosmetik.

Maka, diharap panduan yang diberi diatas dapat membantu para pengguna untuk membezakan barangan kesihatan yang asli dan juga tiruan. Selain itu, pengguna boleh mengambil inisiatif untuk membanteras pil-pil kesihatan tiruan dan produk kesihatan dengan melaporkan sebarang produk kesihatan tiruan yang didapati dijual di pasaran kepada Pusat Aduan Konsumer Kebangsaan ( National CunsumerCompaints Centre) ataupun di Persatuan Pengguna atau Konsumer di negeri masing-masing.

Isnin, 6 Mei 2013

Natijah Barangan Tiruan kepada Pengguna



        Salam sejahtera, kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit mengenai kesan buruk barangan tiruan kepada para pengguna. Seperti yang telah kita ketahui, barangan tiruan tidak mempunyai sebarangan jaminan kepada pembelinya. Oleh itu, pengguna boleh terjejas dari pelbagai faktor ekoran pembelian barangan tiruan.

Antara kesan yang paling ketara boleh kita perhatikan adalah dari segi keselamatan. Hal ini tidak harus dipandang enteng kerana, banyak kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa berlaku ekoran penggunaan barangan tiruan di rumah. Sebagai contoh, barangan elektronik palsu seperti komputer mampu menyebabkan kebakaran dirumah ekoran daripada penggunaan fius-fius dan cip elektronik yang mudah terbakar serta tidak diiktiraf oleh Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM).

Contoh gambar dari sebuah artikel yang menunjukkan kebakaran yang mampu meragut ratusan ataupun ribuan nyawa yang tidak ternilai.              


Hal ini menyebabkan kita kehilangan insan yang tercinta begitu sahaja, disebabkan kecuaian kita sendiri. Perkara ini mungkin tidak berlaku kepada kita sekarang, tetapi fikirkanlah sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan kita berada di situasi yang sama. Sudah tentu sesalan di kemudian hari akan menjadi tidak berguna.

Bukan itu sahaja, ekoran daripada kejadian yang tidak diingini, para pengguna juga akan mengalami kerugian wang ringgit yang besar disebabkan penggunaan barangan tiruan. Perkara ini boleh terjadi disebabkan oleh dua kemungkinan. Pertama, pengguna mengalami kerugian apabila membeli barangan tiruan. Hal ini disebabkan, walaupun para pengguna membeli produk tersebut dengan harga yang murah, namun pada hakikatnya, barangan tersebut tidak akan tahan lama dan cepat rosak. Situasi ini akan memaksa para pengguna mengeluarkan sejumlah wang yang besar bagi menggantikan produk yang lama. Perkara menjadi lebih malang jika para pengguna mengalami kemalangan ekoran penggunaan barangan tiruan tersebut, hal ini akan memaksa pengguna mengeluarkan modal yang besar untuk menanggus kos kemalangan yang berlaku.

Di samping itu, faktor kesihatan juga harus dititikberatkan memandangkan banyak barangan dan produk tiruan juga mampu memberi natijah kepada kesihatan kita.

Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat banyak lagi kesan negatif yang akan kita alami ekoran penggunaan barangan tiruan. Oleh itu, sebagai konsumer yang mempunyai hak untuk memilih produk yang asli, wajarlah bagi kita untuk melihat, memerhati dan memilih produk yang asli dan berkualiti.

Sampai disini sajalah coretan pada kali ini. Saya berharap agar semua dapat gambaran yang jelas mengenai komplikasi serta kesan buruk ekoran penggunaan barangan tiruan. Sekian.

-Harvin Bharathy-

Sabtu, 4 Mei 2013

Asli ataupun Tiruan?


Terdapat pelbagai cara untuk membezakan barangan tiruan dan barangan yang asli. Pelbagai mesin teknologi telah dicipta semata-mata untuk membezakan barangan tersebut. Namun, perkara tersebut tidaklah begitu mudah bagi kita mengenalpasti. 

Bagi pihak profesional, mereka bolehlah menggunakan kaedah pengecaman dan pengenalpastian cap dagangan pada produk di samping menggunakan peralatan tertentu untuk mengenalpasti barangan tiruan.

Namun begitu, sebagai orang awam, terdapat beberapa kaedah yang boleh dipraktikkan bagi membezakan barangan tiruan daripada yang asli. Antaranya, temasuklah mengenalpasti harga barangan, sama ada harganya bertepatan dengan jenama produk yang dibeli. Di samping itu, jaminan pembelian juga boleh diambil kira kerana produk yang berjenama dan asli selalunya diberi jaminan pembelian mengikut tempoh yang berpatutan, berbanding dengan barangan tiruan yang mempunya jaminan pembelian yang kurang jelas, atau mungkin juga tidak diberi jaminan pembelian.


Jenama "Adinais" yang ditiru daripada jenama Adidas yang asli.


Selain itu, tempat penjualan juga mampu menjadi petunjuk yang baik kepada kita. Hal ini demikian kerana, kita sudah tentu dapat membayangkan jenama produk yang mampu dijual oleh wakil penjual yang sah berbanding dengan jemana produk yang dijual oleh penjual di kaki lima atau pasar malam.

Sehubungan itu, pengguna seharusnya memastikan barangan yang dibeli dari penjual itu benar-benar asli sebelum membuat pembelian, kerana tidak gunalah kita menyesal di kemudian hari, bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. 

Oleh itu, diharap para pembaca blog ini dapat mengetahui serba sedikit tips untuk membeli sesuatu produk agar tidak mudah ditipu oleh wakil penjual.

Mencari Solusi...

Bagaimanakah caranya??

Terdapat beberapa langkah yang telah dipraktikkan oleh pihak berkuasa dalam usaha membanteras pengedaran dan penggunaan barangan tiruan.

Oleh itu, saya ingin berkongsi sebuah artikel dari Bernama mengenai isu ini:

Membanteras Barangan Tiruan Dalam Pasaran Tempatan


Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Memiliki barangan berjenama menjadi citarasa kebanyakan orang yang mengutamakan lambang prestij.

Antara barangan yang menjadi idaman ialah pakaian, beg tangan, kasut, jam tangan, cermin mata hinggalah kepada perisian komputer.

Namun tidak semua yang mampu memilikinya kerana harga yang mahal.                            

Untuk memenuhi tuntutan itu mereka sanggup membeli barangan tiruan yang hampir serupa dengan jenama asli.

Walaupun penguatkuasaan sering dilakukan, namun untuk membanteras kegiatan tersebut mestilah bermula daripada pengguna sendiri.

"Jika tidak ada permintaan, tidak akan ada sindiket-sindiket tersebut untuk terus beroperasi," kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) Iskandar Halim Sulaiman.



Dipetik dari: Portal Rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Contoh: Beg tangan tiruan yang kelihatan sama seperti barangan tulen.

Setelah membaca artikel ini, kita haruslah sedar bahawa walau bagaimana ketatnya peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, keputusan haruslah diambil oleh pihak pengguna itu sendiri. Jika pengguna sendiri tidak menggalakkan barangan tiruan, sudah pasti tidak akan ada tempat untuk barangan tiruan di pasaran. 
Oleh itu, marilah kita bersama-sama bermuhasabah dan menilai sejauh mana kemampuan kita untuk mengatakan "TIDAK" kepada barangan tiruan.








Jumaat, 3 Mei 2013

Faktor Barangan Tiruan Berleluasa

Sekitar Kita....

Salam sejahtera, kali ini, saya ingin berkongsi tentang barangan tiruan. Terdapat pelbagai jenis barangan yang boleh dikategorikan sebagai barangan tiruan, malah, kebanyakan barangan yang ditiru adalah daripada barangan yang bermutu dan berkualiti tinggi.

Apakah faktor sebenar yang menyebabkan penularan barangan tiruan?


1. Sifat ingin menunjuk-nunjuk

Sumber: Imej Google
Segelintir pengguna gemar menggayakan
barangan yang dibeli
Ramai di antara kita yang ingin kelihatan bergaya dengan menggayakan barangan yang bermutu tinggi seperti Louis Vuitton, Prada, Bonia, Gucci dan banyak lagi. Senario ini sangat serius terutamanya dalam kalangan remaja dan belia. Masing-masing mahu orang di sekeliling memuji-muji dan memandang tinggi akan kita. Oleh itu, mereka membeli barangan tiruan semata-mata untuk digayakan kepada orang lain.




2. Kurang berkemampuan.

Faktor ini juga menyebabkan segelintir masyarakat terpaksa membeli barangan tiruan. Sebagai contoh, televisyen keluaran Panasonic telah ditiru dan dikeluarkan menjadi Pensonic. Hal ini sememangnya diketahui oleh orang ramai, namun bagi memenuhi hasrat ahli keluarga, segelintir ketua keluarga terpaksa membeli barangan elektronik seperti itu, dengan harga yang lebih murah.

3. Ditipu.

Faktor ini tidak harus dipandang enteng, kerana terdapat banyak situasi dimana pengeluar barangan mengedarkan barangan tiruan, termasuk barangan-barangan elektronik yang kecil(spare parts). Perkara ini tidak diketahui oleh pembeli yang membeli produk tersebut. Perkara ini hanyak diketahui oleh para pembeli apabila barangan mereka rosak dan apabila dibawa ke kedai untuk dibaiki, barulah mereka akan diberitahu mengenai keaslian produk mereka.

Kesimpulannya, terdapat banyak lagi faktor yang menyebabkan penularan barangan tiruan. Perkara ini semestinya diketahui oleh semua orang, tidak kiralah yang membeli barangan tiruan secara sengaja atau secara tidak sengaja.

Salam Perkenalan...


  


Hai warga alam maya sekalian, pertama sekali, terima kasih atas kesudian kalian mengunjungi blog ini.. Saya berharap blog ini menjadi satu medium bagi membincangkan satu isu yang sangat serius dan semakin menjadi-jadi di seantero dunia; penularan barangan tiruan dan kesan terhadap pengguna.. Oleh itu, percambahan ilmu dari para pengunjung amatlah saya hargai...

Sebarang cadangan dan aduan juga amatlah dihargai. Sekian.

#entripertama